ARKIB : 22/02/2009
Pameran amal Palestin di BSLN
Oleh SY MUSSADDAD MAHDI
Foto RASHID MAHFOF
Hati mana yang tidak sedih melihat peperangan yang berlaku di Palestin. Hati pasti sayu melihat tangisan, ratapan sedih dan penderitaan yang menimpa masyarakat di sana.
Terpanggil dengan itu, Balai Seni Lukis Negara (BSLN) bersama Malayisan Social Research Institut (MSRI) dan RA Fine Arts Gallery menganjurkan Pameran Amal Palestin.
Tujuan utama pameran amal itu untuk mendapatkan sumbangan bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang mengalami penderitaan akibat pencabulan hak asasi manusia oleh tentera Israel.
Pameran yang dirasmikan oleh Pengarah Urusan Mosaique Communication Sdn. Bhd., Datin Paduka Marina Mahathir turut dihadiri oleh Duta Besar Palestin di Malaysia, Abdel Aziz Aboughoush, Penasihat Program Amal Palestin 2009, Datuk Syed Ahmad Jamal dan Pengarah Perkhidmatan Pameran BSLN Zanita Anuar.
Turut hadir Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said. Pengarah RA Fine Arts Gallery, Raja Ahmad Aminullah dan Pengarah Eskekutif MSRI, Lia Syed.
Kerjasama yang diadakan ini dibuat atas urutan daripada tiga siri pameran lukisan oleh pelukis Palestin, Rouhaifa Qassim dan kanak-kanak dari Kem Nahr al-Bared di Lubnan bersama pelukis Malaysia yang diadakan di Galeri RA, Kuala Lumpur pada tahun 2007. Ia juga susulan daripada pameran Tabah Dalam Derita dan Pameran Palestin di Pasar Seni Annex pada tahun 2008.
Pameran dan jualan karya di BLSN diadakan hingga akhir Februari ini. Sebanyak 421 karya dipamerkan dan daripada 235 penyertaan.
Antara nama-nama besar pelukis yang turut terlibat dalam pameran ini termasuklah Datuk Syed Ahmad Jamal, Awang Damit, Fuad Osman, Ismail Kadir, Datuk Raja Zahabudin, Zuzila Zain, Arif Fauzan, Tajudin Ismail dan Sulaiman Esa.
Karya yang dihasilkan dalam pelbagai medium seperti catan minyak, cat air, akrilik, pastel dan arca juga turut dipamerkan kali ini. Harga jualan bermula dari RM200 hingga RM200,000 dan 60 peratus daripada hasil jualan lukisan akan disumbangkan kepada rakyat Palestin melalui MSRI dan 40 peratus diserahkan kepada pelukis.
Selain itu, bazar seni iaitu Gaza Bazar turut diadakan setiap Sabtu sempena pameran tersebut di perkarangan BSLN mulai pukul 10 pagi hingga 8 malam.
Program ini turut disokong dengan aktiviti Grafiti oleh kumpulan Grafiti Malaysia seperti They Art Studio, The Super Sunday, Phobia Klik, PW Krew dan banyak lagi. Utusan Malaysia menjadi akhbar rasmi pameran ini.
l Sokongan orang muda
Pemilik RA Arts Gallery, Raja Ahmad Aminullah berkata, beliau gembira kerana turut sama terlibat dalam pameran kali ini dan paling membanggakan apabila ia dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat.
"Semua ini hasil kecekapan BSLN dan para seniman sendiri yang prihatin dan sudi untuk turut serta bersama-sama menyokong pameran amal ini.
"Mungkin isu Palestin ini sudah tidak sehangat dahulu kerana media sudah memainkan isu lain pada masa kini. Tetapi kita tidak pernah melupakan mereka di Palestin dan niat kita untuk membantu dengan cara begini.
"Paling membanggakan apabila melihat banyak karya-karya pelukis muda yang turut dipamerkan kali ini. Ini menunjukkan bahawa kita masih ramai pelukis generasi baru yang akan menyambung usaha ini," jelas Raja Ahmad.
Baginya, sebanyak mana jumlah kutipan nanti bukan menjadi masalah kerana apa yang paling penting ialah untuk membantu mereka yang berada jauh di bumi Palestin.
"Bukan tujuan kita membuat pameran amal ini untuk mengambil kesempatan tetapi kita mahu memberi kesedaran kepada orang ramai untuk sama-sama datang ke sini dan melihat sendiri hasil karya pelukis-pelukis tempatan," katanya lagi.
Menurut Raja Ahmad, pameran-pameran sebegini sering dianjurkan oleh seniman sejak tahun 1960-an lagi dan pihaknya akan terus menyambung tradisi ini pada masa akan datang.
Tuesday, February 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment